Petronas Perkenalkan Logo Baru.

KUALA LUMPUR 10 Jun - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memperkenalkan logo korporat berwajah baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan jenama syarikat minyak negara tersebut.

Logo Petronas berwajah baharu itu diperkenalkan sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kenyataannya, Petronas berkata, selain logo korporat yang lebih kontemporari, penciptaannya juga adalah hasil daripada ekuiti dan legasi jenama Petronas sedia ada.
"Pada dasarnya logo berwajah baharu ini melambangkan pertumbuhan serta perkembangan jenama Petronas dan logo ini juga merupakan logo generasi ketiga pihak syarikat.
"Struktur asasnya masih mengekalkan ciri-ciri titikan minyak dan simbol 'P' pula menggambarkan perniagaan terasnya dalam industri minyak dan gas selain menggambarkan Petronas sebagai syarikat yang dinamik," kata kenyataan tersebut.
Petronas telah ditubuhkan ketika berlaku krisis minyak dan gas pada awal 1970-an.
Sejak dari itu, Petronas terus fokus mengembangkan perniagaan dan meningkatkan keupayaan operasi selain berusaha meneroka seberapa banyak sumber minyak dan gas bagi memenuhi permintaan.

Petronas yang pada awal penubuhannya hanya aktif dalam pencarian sumber minyak dan gas dalam negara, kini muncul sebagai salah sebuah syarikat petroleum antarabangsa.
"Petronas merupakan antara syarikat minyak kebangsaan yang paling awal terlibat di dalam industri minyak dan gas di peringkat global yang secara tidak langsung telah memberi inspirasi kepada syarikat minyak kebangsaan negara-negara lain,'' kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, kata kenyataan tersebut, warna hijau zamrud yang terdapat pada logo Petronas sebelum ini melambangkan laut dan tanah iaitu tempat asalnya sumber minyak serta gas diperoleh.
Bagi logo berwajah baharu pula menyaksikan adanya keluk pada titikan minyak yang melambangkan kesungguhan Petronas meneruskan pemanduan serta menempuhi cabaran dalam usaha memenuhi permintaan tenaga serta harapan pihak berkepentingan.

Logo asal Petronas telah dicipta pada 1974 apabila syarikat minyak negara pertama tersebut ditubuhkan.

Logo lama

Logo baru



PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments